Selesai je azan, biji kurma aku letak di tepi piring. Terus sepotong pizza bertukar tempat. Dari dalam kotak menuju terus ke piring aku. Persinggahan terakhir sebelum lumat didalam mulut aku. Kotak-kotak pizza yang tersusun bertindih satu sama lain terletak di tengah meja. Sering kali bertukar tempat. Macam main enjit-enjit semut pun ada.
Dalam kesyaduan menikmati makanan Itali itu,timbul satu persoalan. Aku tahu aku tak ada jawapan untuk itu. Sama dengan persoalan-persoalan lain yang selalu bermain di benak pemikiran. Biar pun ianya benda yang mudah. Yang senang. Tapi kenapa logik akal selalu tak jumpa apa jawapannya.
Asas pizza itu dibuat dari adunan yis, tepung dan air. Di adun dan digaul hingga sebati. Kemudian diletakkan atas kuali yang selalunya berbentuk bulat. Sebab itu bulat juga bentuknya yang keluar. Sebelum dimasukkan kedalam ketuhar dan dibakar, "topping" diletakkan di atas adunan tersebut. Terpulang apa "topping" yang ada mahu. Jangan minta "topless", sekarang bulan puasa, nanti kita cerita lain. Dan akhir sekali, hirisan keju diletakkan ke atas kepingan bulat pizza tadi setelah ianya bertukar keemasan. Macam tu la kut cara-cara nak buat pizza. Aku tak pernah buat, setakat tengok dekat AFC.
Jadi, berbalik pada persoalan aku tadi;
"Kenapa kotak pizza mesti dalam bentuk empat segi sedangkan pizza itu bulat?"
Kenapa tak hasilkan kotak yang sama bulat ataupun pizza yang empat segi.
Kenapa?
Kalau ada jawapan sila rujuk pada tajuk entry.