Tuesday, August 31

Kisah Benar (1)

Parking dekat mana?? belum sempat Abu duduk, Daud sudah bertanya kepadanya. Dekat rumah kau, sambil menunjuk kepada Hashim, jawab Abu sambil menarik kerusi. Terus datang kepadanya pelayan dari India, bertanyakan makan dan minum. Sekarang nak cari parking pun susah, mengumam sendirian si Daud. Hashim dan Ali turut menambah minuman, mereka tahu mereka akan lama lagi di tempat itu. 

Tempat yang tersisip banyak memori. Tempat menghabiskan masa bersama-sama tak kira masa, boleh jadi sebelum, semasa ataupun selepas waktu sekolah. Disitu mereka duduk menyaksikan perlawanan piala dunia, berjudi kecil-kecilan. Tempat pertemuan mereka sebelum dan selepas untuk segala aktiviti. Kini selepas 7 tahun, mereka sekali lagi di situ.
Dengan bontot beralaskan kerusi plastik, dipisahkan tiap sisi meja plastik, mereka duduk berempat, berbumbungkan langit malam yang diterangi cahaya bulan, cuaca sejuk, angin bertiup shadu dan bintang tidak kelihatan. Sambil membakar rokok, Daud bersuara, mengatakan bertapa sesaknya kawasan itu sekarang. Bontot ke bontot. Tak pernah sunyi. Berlapis-lapis, berhimpit-himpit. Mereka sekarang berada di tengah kesesakan. Kawan yang bertiga tidak dapat tidak, turut bersetuju dengan kata-kata Daud.

Kata-kata Daud ibarat percikan api ke dalam telaga minyak. Terus bersemarak mereka bercerita, mengungkit cerita lama. 

Terus mereka berempat patah balik ke tahun 2002. Tahun yang mengujakan mereka berempat. Melalui zaman keseronokan mengambil SPM, yang mana jarang-jarang orang mengalami keseronokannya kecuali sesudah berjaya keputusannya. 

Mereka berempat memenuhi perut kereta buatan tempatan yang dipandu perlahan, dipandu oleh tuan punya kereta, Abu. Kereta yang berjaya dipinjam dari abangnya dengan dia kena membasuh kereta tersebut sebagai syaratnya. Perlahan mereka meninggalkan Damansara, menuju ke ibu kota sebelum menyusur ke Jalan Gombak menuju ke Danau Kota. 

Mereka ketika itu kepenatan. Malam sudah menganjak Subuh. Sempat juga Abu mempersoalkan tentang minyak kereta, Ali memberitahu Abu ianya akan dibahagi sama rata. Tak perlu risau, tenang riak Ali yang duduk disebelah Abu sebagai penunjuk jalan. Pengunaan perkataan tong tong dan torek ramai-ramai sangat sinonim dengan mereka ketika itu.  Daud dan Hashim yang duduk dibelakang membincangkan tentang kasut,  kelab malam, perempuan dan juga masa depan. 

Tiba-tiba Abu bersuara, menyatakan bertapa indahnya hidup dia andai benda yang mereka lawati tadi ada di sekitar daerah mereka, daerah Gombak. Membuatkan rakanya yang lain terdiam sejenak. Cuba bayangkan, belakang Pejabat Pos ni nanti ada panggung wayang, Daud menambah. Sebelah Pasar Gombak ada area Bukit Bintang, Hashim pun sibuk nak mencelah. Dekat Danau Kota, ada Jalan Pinang, ada Jalan P Ramlee, Ali juga tak nak ketinggalan. Jalan Gombak jadi trek macam Jalan Tar.  Batu Caves jadi Taman Tema Batu Caves, ada roller coaster dan juga flying carpet. Idea Ong Tai Kim jadi KLCC paling melampau.

Bersahut-sahut harapan mereka berempat, mengimpikan segalanya-galanya ada di Gombak. Tempat mereka bersekolah dan membesar. Tak perlu berlama di atas jalan raya, tak perlu membazir wang petrol dan juga tol. Tidak perlukan duit parking dan 3 batang rokok (mungkin lebih) untuk sampai ke destinasi. Tak perlu hingga Subuh untuk mereka kembali mendapatkan bantal dan tilam. Tak payah lalu road block. Paling penting, mereka tak perlu sesat.

Sambil projektor menebak layar putih menayangkan filem dari HBO, mungkin masih lagi layar putih yang sama sejak 8 tahun lepas, mereka berempat masih lagi bercerita. Segala harapan dan cita-cita yang mereka inginkan untuk Gombak dahulu  di ungkit satu persatu. Dan mereka sepatutnya gembira, separuh darinya sudah menjadi realiti.

Dari tempat mereka duduk sekarang, ke panggung wayang hanya 5 minit memandu, sudah boleh ke rumah urut berjalan kaki, selang beberapa pintu sudah ada pusat karoke, snooker centre dan kedai kuda memang merata. Mahukan alkohol, kedai cina sentiasa ada. Up town yang mereka teroka hingga ke Damansara dulu kini di depan mata mereka.

Dan sekarang mereka berempat tak putus-putus menyatakan rasa sesal, rasa semak, rasa rimas dengan semua yang mereka impikan, kecuali satu.

Perempuan-perempuan seksi yang tidak pernah menghampakan. Seksi yang seksi mahupun seksi yang sinikal. Mereka berempat tetap sukakannya. 

Pertemuan mereka malam itu berakhir ketika peniaga-peniaga Up Town sudah mula bersahur, ketika malam sudah menginjak subuh.


p/s: Nama-nama watak dalam cerita hanyalah nama samaran.