Sunday, November 28

Sehari suntuk di Medan Idaman

Medan Idaman ni bukan tempat 5 bintang. Memang tak akan menjadi pilihan makwe-makwe berbanding KLCC. Tak ada apa yang menarik untuk ibu bapa bawa anak mereka datang ke sini waktu musim cuti sekolah kecuali Pasaraya Ong Tai Kim. Remaja yang melepak di sini jarang mengeluarkan bunyi "dowh" dihujung setiap ayat. Mereka lebih gemar menggunakan dialek minang dalam komunikasi carutan mereka. Remaja disini juga tak bercium mulut di tepi-tepi jalan utama. Mereka akan ke lorong-lorong belakang atau pun ke tangga-tangga yang sunyi. Dari zaman aku sekolah menengah lagi, cuma dulu tak ada talifon berkamera untuk merakam dan memuat naik ke facebook untuk kawan-kawan klik butang like.

Medan Idaman ni dibuka waktu aku bersekolah rendah. Darjah enam kalau tak silap aku. Pembukaan Medan Idaman yang jaraknya tak sampai 1Km dari sekolah rendah aku telah mengajar aku satu benda yang tak berapa penting tapi berguna sampai hari ni. Macam mana cara-cara nak membeli burger di McDonald. Dan selepas beberapa kali ziarah ke McDonald yang baru dibuka, aku dan kawan-kawan sedar sesuatu, Gov Tax selalu menipu duit kami kalau beli beef burger asing-asing. Aku sedar yang kerajaan menipu aku sejak dari sekolah rendah lagi, bukan lepas masuk universiti.

Kini lepas berbelas tahun Medan Idaman dibuka, aku kembali mengunjunginya. Dalam sebulan dua tiga kali juga aku menjejakan kaki ke sana, ke sebuah kedai yang menjual barangan terpakai; kedai Bundle. Boleh diklasifikasikan sebagai bundle Gred A. Bundle yang aku singgah di Pord Dickson dan di Bangi, juga memperkatakan tentang bundle di Medan Idaman Gombak ini. Aku rasa bertuah.

Beberapa minggu yang lepas, mungkin sudah hampir sebulan, seperti biasa aku membuat lawatan tak rasmi bersama seorang kawan beserta wang tunai. Perkara wajib yang harus di bawa ke kedai bundle. Kalau setakat nak membelek tak ada tunai, tak guna. Kunjungan balas selepas itu pasti mengecewakan kalau kau  tak ambil kesempatan pada kali pertama kau terjumpa sesuatu yang menarik. 

Selepas tiga jam membelek baju, seluar, kasut, dan aksesori, dan berpuas hati dengan pilihan yang mengikut kemampuan masing-masing. Aku dan kawan aku keluar menuju ke kereta. Sampai sahaja di kereta, dia ajak aku temankan dia, masuk ke Cyber Cafe katanya. Aku akur, boleh juga melihat Cyber Cafe Medan Idaman sekarang. Masih lagi menjadi tumpuan budak sekolah lagi  atau tidak selepas Streamyx dan beraneka band yang lain dah melambak dekat pasaran.

Tinggalkan barangan belian dalam kereta, menapak menuju ke blok sebelah. Lalu kedai nombor Damacai, sibuk macam biasa, tapi tak sampai sesak beratur panjang, tengah hari, ramai yang tak dapat mimpi lagi agaknya. "Kau berjudi tak Mirul? tanya kawan aku. "Dulu...zaman main kuda masuk syiling pernah lah jugak" santai sambil bakar rokok aku jawab. "Kalau macam tu, maknanya awak ni ada sifat-sifat seorang penjudi" balas kawan aku sambil tergelak. Aku dah dapat rasa yang bukan Cyber Cafe tempat tujuan kami. Terus berjalan ikut bontot kawan aku, berhenti sampai satu kedai yang pintu kacanya bercermin gelap. Gelap macam cermin kereta hakim dan pintunya berkunci dari dalam. Dilepaskan pemegang pintu dan kawan aku tekan suis loceng yang sudah pecah plastik rumahnya berkali-kali. Buzzer berbunyi, dan pintu terbuka.
Jejak je kaki aku dalam premis tak berpapan tanda tu, "Just like Vegas" bisik hati kecil yang sering di bolak balik. "Cari duit jap" kata kawan aku sambil menghulur not 50 kepada apek dibelakang kaunter. Pilih Pc dan masukkan kata laluan yang apek bagi. "Kau ada hal tak lepas ni? Ada nak pergi mana-mana?" soal kawan aku sambil memilih jenis permainan yang mahu disertainya. Aku tahu apa maknanya bila soalan semacam itu ditanya pada aku. Aku akan berada lama di situ bersama dia. Aku geleng kepala, tarik kerusi, duduk di sebelah dan mata aku memerhati sekeliling.

Kedai tu sesak. Hampir 50 biji Pc dan sangat sedikit yang tak berpenghuni. Ada dua mesin kuda dekat tepi. Jenis masuk syiling, tapi cuci dekat kaunter, bukan jenis lama yang syiling akan jatuh tiap kali kuda kau sampai dulu ke garisan penamat. Pakcik sekitar lewan  40an atau mungkin awal 50an sibuk di situ, bercakap tentang kira-kira judi kuda. Apa yang kena, apa yang lari. Menjadi juga teorinya selepas berkali-kali dia menjerit keriangan dan mengatakan betapa betulnya kata dia.

Yang datang melabur, tak ramai yang sezaman dengan aku. Aku perhatikan, ramai yang datang dari golongan 30 ke atas. Aku disitu tergolong dalam lingkungan yang termuda. Pangkat atuk-atuk pun ada juga dalam empat lima orang. Dari pukul berapa mereka di situ aku tak tahu, tapi PR mereka dengan pengujung lain sangat bagus. Ramai juga yang menegur mereka. Bercerita tentang mesin mana yang memberi mesin mana yang menelan. Dalam premis satu pintu tu, pelbagai bangsa duduk sekali menghitung nasib masing-masing. Ada Singh, ada India, ada Cina, ada Melayu. Silap. Ada bangsa Malaysia, bangsa Indonesia, bangsa Myanmar dan juga bangsa India. Yang India pakai seringkas mungkin, hanya bertshirt pagoda untuk menutup perut dan dhoti membalut kaki.

Pelayan gerai sibuk mengambil pesanan dari pengunjung. Gerainya diluar kedai, tapi khidmat penghantaran ke dalam premis di sediakan. Complimentary drinks pun ada. Pembantu apek sibuk mengagihkan air kotak tiap-tiap sejam. Tiap-tiap pengunjung dapat satu, termasuk aku. Apek dan pembantunya kelihatan cukup pemurah. Sentiasa tersenyum lebar. Bila pengunjung makin kerap menghulur duit dari mengutip bayaran, macam kawan aku, senyumannya makin melebar. 

Dalam masa dua jam, dua ratus ringgit dah bertukar tangan dari kawan aku ke apek si penjaga kedai. Masih belum mahu mengalah,(baca; duit masih ada) permainan mesti di teruskan.

Bila aku bernafas kembali dengan udara segar luar premis, matahari dah tenggelam. Langit dah kelam, sekelam raut wajah kawan aku yang tinggal sepuluh ringgit untuk makan malamnya. Sepuluh ringgit hasil pelaburannya di mesin kuda dengan modal seringgit yang aku pinjamkan padanya.

Seminggu lepas tu, aku dengar kedai tu makin terkenal, keluar Tv katanya, rancangan 999.