Pelita a/l Panjut.
Bila bulan dilangit sudah hampir melengkapkan putarannya, jari di tangan sudah mengira berapa hari lagi raya akan tiba, mahu dikira berapa puasa, dah tak cukup jari banyaknya. Raya sudah mahu tiba, selamat tinggal puasa.
Aku: Memang meriah.
Disebabkan tradisi, pelita masih lagi dipasang hingga ke hari ini. Pada aku, masyarakat terdahulu menyalakan pelita, menghiaskan panjut sekeliling rumah untuk menerangi rumah mereka yang tidak ada bekalan elektrik. Mereka memasang pelita-pelita di keliling rumah untuk menyatakan keseronokan mereka untuk berhari raya. Tidaklah bergelap sahaja seperti hari-hari biasa yang mana hanya satu pelita untuk terangi seluruh isi rumah.
Ada juga yang kata, gunanya dahulu untuk menerangi jalan-jalan kampung. Memudahkan warga-warga kampung yang mahu ke masjid atau ke surau untuk beribadah di 10 yang terakhir. Aku tahu jalan-jalan kampung dulu gelap. Tak payah dulu, sekarang pun banyak lagi jalan-jalan kampung yang gelap. Jadi tujuan mereka, untuk terangkan jalan, terangkan kampung. Kalau tak, terkejut pulak kutu-kutu kaki lepak terserempak dengan makhluk berselubung putih di bulan puasa.
Aku: Apa relevannya.
Sekarang di felda-felda dan juga di ceruk-ceruk kampung, dah ada lampu jalan, dah ada lampu kelip-kelip, lampu neon, lampu kalimantang dan juga chandelliar serta lampu picit, kenapa masih ada lagi panjut pelita ni. Kerajaan tersayang dah bagi kemudahan, dari zaman LLN sampai sekarang zaman TNB , kenapa nak lagi berpelita?
Hanya kerana tradisi, sampai ke hari ini ia masih ada lagi. Sesetengah tempat, siap ada yang buat pertandingan. Biar besar-besar, baru nampak gah. Biar tinggi-tinggi, baru nampak meriah.
Satu yang aku nampak bagusnya benda ni, kerjasama penduduk sekampung. Tapi kalau setakat bekerjasama buat panjut setahun sekali, tak berapa nak praktikal jugak. Dan kalau ada aktiviti lain, macam mengawal keamanan kampung, atau gotong royong mahupun membbuat lemang beramai-ramai untuk sedekah anak yatim, lagi bagus aku rasa. Output yang keluar lagi bagus dari setakat melihat keindahan susunan-susunan api kecil.
Pesan pakcik-pakcik, ini tradisi kita, kita harus kekalkan. Kalau tak dijaga adat budaya kita, siapa lagi nak jaga.
Biar mati anak, jangan mati adat. Kan?
Aku: Tak jumpa lagi yang bertanya, mereka itu sambut Deepavali atau Hari Raya.
p/s: Dah jumpa kenapa anak ramai yang kena buang?