Monday, October 18

Oktober yang menjanjikan

Sejak dari sekitar Ogos, aku dah tunggu-tunggu akan Oktober. Terlalu banyak benda yang dijanjikan untuk Oktober tahun ni. Ada yang sudah ditunai, ada yang belum. Ada juga yang tengah dalam perjalanan.


Cerita Satu.
Cerita hal belanjawan. Jantung dup dap dup dap tunggu belanjawan keluar. Ramai yang kata silap-silap naik lagi. Nasib baik tak naik. Pak Najib memang pandai ambik hati. Kalau tak habis ayam daging telur tepung susu pampers semua ikut naik. Yang tak ikut naik rokok, sebab rokok dah naik sendiri.
Tapi kakitangan kerajaan ramai jugak yang ngomel tak dapat bonus. Kesian juga kalau-kalau anak ramai, sekolah nak bukak hujung tahun, duit tepi lebih 5 ratus, sekejap je tu. 

 Yang sebut pasal kadar tol tak naik dalam 5 tahun lagi memang buat aku senyum jugaklah. Tapikan, kalau semua lebuh raya upgrade jadi 3 lorong pun seronok jugak. Kalau tak dapat upgrade jadi 3 lorong pun, dapat tolong tampalkan lubang-lubang yang dah ada dekat lorong-lorong tu pun dah cukup sangat dah.

Lagi satu yang aku kagum, naik lagi sebiji pencakar langit dekat tengah-tengah Kuala Lumpur. Tepi sikit je dari Bukit Bintang. Shoulder to shoulder katanya. Bangunan pejabat sampai 100 tingkat. Cumanya, lepas aku congak-congak dalam kepala, dekat tengah KL banyak lagi aku nampak papan iklan ruang pejabat untuk disewa atau dijual. Jangan beerdiri megah tapi lepas tu berhantu sudah lah. Hantu penjara pudu dah tak ada rumah sekarang ni. Lagi satu, tolong pastikan tak roboh macam yang dekat Terengganu ya.

Cerita Dua.
Makan-makan. Tak cukup dengan Syawal yang dah luput, ada lagi yang extend sambut hari raya buat open house. Jemputan kenduri jangan cakap. Bertindih-tindih. Menu jamuan raya selang seli dengan lauk kenduri, bersesak-sesak dalam perut. Perut jangan cerita, dah jadi belapis-lapis.

Bila cerita pasal makan, teringat satu cerita. Sambil aku buat-buat bekerja dengan tukang kayu yang bekerja, dia bukak lagu dangdut, "Kena rilek-rilek sikit Mirul, orang Indonesia wajibnya dangdut, harus goyang-goyang, kalau orang Malaysia, wajibnya makan. Sekejap-sekejap makan, sampai pukul tiga pagi, makan lagi." Aku terus buat kerja. Betul betul.

Cerita Tiga.
Ikatan kasih. Ramai yang mengikat janji disimpul mati. Menyulam kasih suami isteri. Pilihan tarikh cantik sekali. Diatas pelamin cantik beseri. Wang hantaran tersusun rapi, total amountnya ikut sekali. Moga-moga sampai kemati.

Memang musim. Dalam kalendar, memang dah boleh agak waktu-waktu hit kenduri macam oktober tahun ni. November kurang sikit sebab ada raya haji. Naik Disember hit balik. Tahun depan punya kalendar, aku tak nampak lagi musim mengawan tu keluar kat mana. Kalau boleh buat kenduri luar musim. Senang aku nak datang. Jangan berebut tarikh, nak sewa dewan pun susah nanti.

Sempena tarikh baik baru-baru ni, sangatlah banyak jemputan. Satu pun aku tak jengah. Tak sempat. Antara janji-janji yang tak tertunai. Tak apa, kenduri kahwin aku nanti, kalau tak nak datang, aku tak berapa nak kisah sangat. Aku pun tak pasti lagi, aku datang ke tak kenduri kahwin aku nanti.

Cerita Empat.
Bila dijanjikan peluang, ianya sesuatu yang kita semua akan tunggu, bila ianya akan muncul. Tapi bila diberikan peluang, belum tentu kita telah bersedia untuk menyambarnya. Jadi, bila kita telah dijanjikan peluang, abaikan dahulu sama ada ianya akan menjadi pasti atau hanya akan menjadi fantasi, yakinkan diri, sambil menunggu, siap-siapkan diri. 

Peluang itu hanya pembuka kata menjengah gua. Masih ada lagi tembok tipis untuk dipecah dan juga usaha gigih diperlukan untuk menikmati keseronokan itu.

Cerita Lima
2010. Janji dari 2003 atau 2004. Sampai tahun lepas aku masih abaikan. Terasa diri sangatlah jahat, seperti seorang perompak, pembunuh, pemberi rasuah, dan juga pemakan harta anak yatim. Tapi untuk tahun ni tak tahu lagi, sebab dia punya cantik dekat kalendar 2010 lain macam sikit lah.

Cerita Enam.
Dalam sepuluh minggu lagi, dah nak masuk tahun baru. Yang ni aku janji aku tak tipu. Laju betul kan?